Isnin, 9 Mac 2009

Abu Lahab Sambut Maulidurrasul

Apabila bulan Rabi'ul Awwal menjelma,umat Islam khususnya di Malaysia akan mula bersiap dengan pelbagai program bagi menyambut "Happy Birthday" Rasulullah s.a.w.Apakah hukum menyambutnya ? Bagaimanakah cara yang sepatutnya menyatakan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w? Apa perkara penting yang mesti di"highlight" di musim sambutan ini?Persoalan-persoalan seumpama ini sangat penting untuk difikirkan bersama.....

SEJARAH

Sebelum kita bincang lebih detail,eloklah kita merenung sejarah sejenak.Agar dapat diambil iktibar dari peristiwa-peristiwa lampau. Di saat kelahiran kekasih Allah, Muhammad s.a.w keluarga baginda gembira meraikannya. Di antara yang paling gembira, ialah bapa saudaranya yang bernama Abu Lahab. Dia telah memerdekakan hambanya, Tsuwaibah kerana terlalu gembira.Bahkan mengadakan kenduri besar-besaran dengan menyembelih unta. Memberitahu masyarakat tentang kelahiran anak saudaranya, Muhammad.

Malangnya,setelah 43 tahun berlalu , bapa saudara ini menjadi penentang utama anak saudaranya apabila Muhammad s.a.w mula menyampaikan Islam. Abu Lahab akan pergi ke setiap tempat Rasulullah s.a.w berdakwah lalu menyatakan bangkangannya di atas setiap perkara yang baginda sampaikan. Bukan itu sahaja, Ummu Jamil , isteri Abu Lahab juga sentiasa mengganggu baginda dengan meletakkan duri-duri di laluan Rasulullah di sekitar rumah baginda.Kemuncaknya apabila baginda mengundang penduduk Mekah di Bukit Safa lalu dinyatakan kerasulan baginda dan menyeru mereka agar beriman kepada Allah . Ketika itu, Abu Lahab dengan bengisnya bangkit dan berteriak ke arah Rasulullah :

تبا لك !!! ألهذا جمعتنا ؟؟
( Celaka kamu !!! Adakah kerana ini kamu himpunkan kami ??? )

Di saat inilah Allah menurunkan firmanNya , surah al-Masad. Makna surah tersebut....

[1] Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!
[2] Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.
[3] Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.
[4] Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. -
[5] Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.


ABU LAHAB SEKARANG ??

Masih wujudkah watak seumpama Abu Lahab di zaman sekarang ? Watak yang menyambut maulidurrasul , tetapi apabila ajaran rasul disampaikan , ia marah. Bukan sekadar marah , tetapi mengganggu dan menentang ajaran tersebut disebarkan. Mukjizat al-Quran terzahir dalam isu ini. Walaupun ia turun lebih 14 abad yang lalu , tetapi panduan tetap relevan sehinggan saat ini dan selamanya. Teguran terhadap watak ini mesti diambil iktibar sepanjang zaman.Kaedag ilmu tafsir menyebut :
"العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب "

( Pengajaran berdasarkan lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus )

Kesimpulannya, walaupun ayat ini diturunkan kepada Abu Lahab , tetapi pengajarannya umum kepada setiap watak yang bersemangat menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w tetapi marah dan menentang apabila ajaran baginda disebarkan....

HUKUM MENYAMBUTNYA

Terdapat 2 pandangan ulama'. Ada yang mengharuskan dan ada yang melarang. Ulama yang mengharuskan bahkan menggalakkannya berhujah bagi mendekatkan ummah kepada Rasulullah s.a.w. Oleh kerana ummah telah jauh dari mengingati baginda , maka diharapkan sambutan seumpama ini dapat "refresh" ingatan kepada Rasulullah s.a.w.

Pandangan kedua menyatakan larangan. Alasannya , Rasulullah tidak pernah menyuruhnya dan ia tidak dilakukan oleh isteri-isteri dan para sahabat baginda setelah kewafatannya. Cara untuk mengingati baginda ialah dengan sentiasa mempelajari lalu mengamalkan ajaran yang baginda tinggalkan.

Bagi saya yang doif ini, yang pasti terlarang dan HARAM ialah....bergaduh sesama orang Islam dalam isu ini. Beberapa tempat telah menyaksikan berlaku perselisihan yang membawa kepada bermasam muka , hanya kerana isu ini. Ada dua kumpulan. Masing-masing menegakkan hujah masing-masing yang kuat. Amatlah sedih melihat keadaan ini , sedangkan musuh-musuh kita bertepuk tangan melihat ahli-ahli masjid bercakaran dalam isu ini.

JALAN TENGAH

Sebagai jalan tengah , saya cadangkan agar kita pertimbangkan cadangan ini. Menerima usaha-usaha memperingati Rasulullah terutamanya di bulan Rabi'ul Awwal ini dengan beberapa syarat , iaitu :

1)Tidak menganggap ia adalah ibadah. Dengan makna , sekiranya tidak dibuat,tidak berdosa.
2) Tidak hanya dilakukan pada bulan ini. Program mengingati Rasulullah s.a.w mestilah dilakukan 12 bulan setahun.
3)Tidak bercampur perkara yang melanggar syariat seperti meninggalkan solat , bercampur aduk lelaki dan perempuan tanpa batasan , mendedahkan aurat dan sebagainya.

BANYAK CARA MEMPERINGATI RASULULLAH s.a.w.

Rasulullah sentiasa berpesan agar ajaran baginda diamalkan. " Gigitlah ia dengan geraham " Memberi erti agar digenggam seerat-eratnya. Pelajari sunnahnya . Fahami dan amalkan .
Moga kita menjadi di antara yang layak menerima "visa" syafaat baginda ke syurga kelak....

.