Rabu, 6 Mei 2009

Saya Cukup Respect Dengan Semangat Akak

Sekali sekala, saya bawa isteri bersama-sama di program yang saya hadiri. Dengan beberapa tujuan. Pertama, untuk refresh ilmu yang dia miliki. Kedua, untuk jadi R & D saya. Selalunya dalam perjalanan balik, giliran saya pula yang mendengar kuliah dia dalam kereta....komen , cadangan penambahan fakta dan idea. Ketiga, dan ini sebenarnya tujuan paling utama, untuk membina hubungan saya dengan hadirin dari kalangan wanita. Memang sewaktu saya hadir bersendirian, soal jawab dan hubungan wujud tetapi dengan kehadiran isteri, ia lebih berkesan.

Di sebuah surau, isteri menceritakan bahawa dia memerhatikan salah seorang jemaah wanita yang sedang khusyuk mendengar kuliah. Bukan itu sahaja, bahkan kakak dalam lingkungan akhir 40-an itu sentiasa mencatat di buku yang dibawanya. Di setiap halaman catitan itu pula, ada yang dihighlight dengan warna hijau, pink, kuning dan sebagainya...yang menunjukkan yang dia membacanya kembali selepas pulang.

Sebelum kami pulang kakak tersebut mengiringi isteri saya ke kereta. Setelah bertanyakan khabarnya , saya cuba melanjutkan bicara "Nampak banyak akak catit kuliah tadi, bertambah semangat saya berkuliah..." saya bergurau.

"Beginilah ustaz , orang terlewat masuk sekolah" katanya.

Saya menjawab "Takpe kak, better late then never...Em, tiap-tiap hari ke macam ni ?".

"Alhamdulillah ustaz , sejak 4 tahun akak istiqomah hadir ke kuliah setiap malam...Kalau weekend, ditambah kuliah subuh dan kuliah dhuha...Tapi, em , tak pandai-pandai juga..."

Terkejut saya dan isteri mendengar pengakuan bercampur keluhan bersahaja ibu kepada 5 anak ini. Kami berpandangan sesama sendiri.

Kakak itu menyambung "Pagi, saya keluar rumah jam 7am, hantar anak bongsu ke sekolah, pastu ke pejabat. Sebelah petang, selepas pulang dari ofis, berehat sekejap dan mengemas rumah, terus bersiap ke surau....Dah jadi rutin sekarang ustaz..."

Bertambah kagum saya dengan semangat beliau. "Akak tak letih ke ?" soal saya.

"Separuh lebih umur akak dah diletihkan untuk mengejar dunia yang tak ke mana selama ini, jadi sekarang akak mesti qodha' balik umur yang Allah anugerahkan. Bahkan terasa begitu manis hadir ke majlis-majlis ilmu ni..."

Kami meminta izin untuk beredar. Setelah bersalaman dengan isteri saya, masing-masing meneruskan perjalanan. Saya dan isteri berbincang sepanjang jalan, sangat kagum dengan semangat si ibu tadi. Sebenarnya, ramai lagi yang dipilih oleh Allah untuk mendapat anugerah ini...kemanisan di dalam menuntut ilmu .

Benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w bahawa ada 2 perkara di dunia ini, sekiranya dikejar oleh manusia, manusia tidak akan cukup, sentiasa ingin menambahnya....HARTA dan ILMU....

Ya Allah, kurniakan kekuatan kepada kami untuk sentiasa memburu ilmuMu...

.

Jumaat, 1 Mei 2009

Kisah: Syaitan Pun Baca Al-Quran?

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah yang menceritakan kisah yang berlaku ke atas dirinya....


"Rasulullah s.a.w telah menugaskan saya untuk menjaga zakat Ramadhan. Tiba-tiba datang seseorang lalu mengambil sebahagian daripada makanan tersebut, lalu saya menangkapnya dan mengancam untuk membawanya mengadap Rasulullah s.a.w. Ia merayu "Tolonglah, saya sangat memerlukan makanan ini, anak-anak dan isteri sedang menunggu..."
Lalu saya pun membiarkannya pergi...

Apabila bertemu Rasulullah s.aw keesokan harinya, baginda bertanya " Wahai Abu Hurairah , apa yang kamu lakukan terhadap orang yang kamu tangkap malam tadi ?" Saya menjawab "Dia mengadu bahawa ia sangat memerlukan makanan , saya pun bebaskan kerana terlalu kesiankan dia"

Baginda bersabda "Dia berbohong, dia pasti akan datang lagi!".

Saya yakin memang lelaki itu akan datang lagi kerana Rasulullah s.a.w yang menyatakan demikian,lalu saya pun mengintip pada malam berikutnya. Lelaki itu datang lagi dan mengambil makanan. Saya menangkapnya lalu berkata "Aku akan membawamu berjumpa Rasulullah s.a.w!" Lelaki itu merayu lagi, sebagaimana kali pertama dan berjanji tidak akan datang lagi.Lalu saya bebaskannya .

Apabila bertemu Rasulullah s.aw keesokan harinya, baginda bertanya " Wahai Abu Hurairah , apa yang kamu lakukan terhadap orang yang kamu tangkap malam tadi ?" Saya menjawab "Dia mengadu bahawa ia sangat memerlukan makanan , saya pun bebaskan kerana terlalu kesiankan dia" Baginda bersabda "Dia berbohong, dia pasti akan datang lagi!".

Saya pun mengintip pada malam berikutnya. Lelaki itu datang lagi dan mengambil makanan. Saya menangkapnya lalu berkata "Aku akan membawamu berjumpa Rasulullah s.a.w!Ini kali ketiga, aku tidak akan lepaskan kamu lagi kerana kamu berjanji tidak datang , tetapi masih datang !" Lelaki itu berkata " Aku akan ajar kepada kamu sesuatu !" Saya bertanya " Apa dia??"
Lelaki itu berkata " Apabila kamu hendak tidur, bacalah Ayat Kursi , الله لا اله الا هو الحي القيوم hingga akhir ayat , nescaya Allah sentiasa menjaga kamu dan syaitan tidak akan sekali-kali mendekati kamu sehingga pagi " Saya pun melepaskan lelaki itu....

Apabila bertemu Rasulullah s.aw keesokan harinya, baginda bertanya " Wahai Abu Hurairah , apa yang kamu lakukan terhadap orang yang kamu tangkap malam tadi ?" Saya menjawab "Dia telah mengajar kepada saya sesuatu yang menyebabkan Allah menjaga saya, lalu saya bebaskan dia." Sabda baginda "Apa dia?"

Saya menjawab " Lelaki itu berkata , apabila hendak tidur , bacalah Ayat Kursi , الله لا اله الا هو الحي القيوم hingga akhir ayat , nescaya Allah sentiasa menjaga kamu dan syaitan tidak akan sekali-kali mendekati kamu sehingga pagi"

Baginda bersabda "Dalam perkara ini , dia telah berkata benar walaupun sebenarnya dia adalah seorang yang sangat suka bohong. Adakah kamu tahu siapa lelaki itu ?" Saya menjawab " Tidak" Sabda baginda "Itu adalah syaitan ! "

.