Khamis, 29 Januari 2009

Laman Hidayah - Radio Suara Islam


SOALAN 1: Bertemu lagi kita di ruang udara. Bersama kita ketika ini, ustaz syed mohd norhisyam al-idrus , seorang pendakwah….Insya Allah pada kali ini , kita akan membincangkan tajuk yang sangat penting , berkait dengan setiap insan yang mengungkap 2 kalimah syahadah. Kita akan fokus kepada rangkap yang kedua , iaitu ( أشهد أن محمدا رسول الله ). Buat permulaannya, boleh ustaz terangkan secara ringkas pengertiannya ?

JAWAPAN 1:

ان الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله و على اله وأصحابه ومن والاه , أما بعد

Sememangnya tajuk yang akan kita bincangkan ini sangat penting . Memandangkan kalimah syahadah merupakan pintu masuk seseorang ke dalam agama Islam , maka setiap kita yang mengaku Islam mestilah memahaminya dengan sempurna , kemudian melaksanakan segala tuntutan yang berkait dengan ikrar ini . Sememangnya ungkapan syahadah adalah satu ikrar seseorang yang mengakui ketuhanan allah swt dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

( أشهد ) selalu diterjemahkan dengan , aku naik saksi . Sebenarnya terjemahan ini adalah betul , tetapi ia sesuai dengan zaman 80-an atau 70-an dahulu. Terjemahan yng lebih tepat dengan bahasa sekarang , adalah aku bersaksi , aku sanggup jadi saksi . Contohnya , seorang lelaki membuka pintu rumahnya lalu terlihat sebuah kereta melanggar anak jirannya . Memang kereta itu yang bersalah . Lalu apabila jirannya meminta lelaki ini menjadi saksi di mahkamah , ia sanggup. Sanggup menjadi saksi kejadian tersebut kerana ia penuh yakin apa yang dilihatnya. Ini di sebut di dalam bahasa arab , أشهد . Demikianlah , seseorang itu sanggup menjadi saksi dengan penuh yakin , bahawa memang sah , nabi Muhammad s.a.w adalah utusan Allah untuk membimbing manusia ke arah bahagia di dunia dan akhirat . Kalau kena berhujjah pun , masih sanggup kerana ia telah yakin sepenuhnya , berdasarkan ilmunya tentang Rasulullah.

SOALAN 2 ; Baiklah ustaz , realiti hari ini , ramai yang mampu melafazkan ungkapan syahadah ini , tetapi hanya mengungkap di bibir sahaja , tanpa diterjemahkan ke dalam kehidupan harian mereka . Boleh ustaz jelaskan , apa pula tuntutan ke atas seseorang muslim yang mesti ditunaikan berdasarkan ungkapan syahadah yang kedua ini.

JAWAPAN 2 ; Sebelum saya jelaskan tuntutan syahadah ini , ingin saya tekankan di sini , kenapa keadaan ini berlaku ? Mengapa masyarakat yang mengungkap syahadah ini , reality kehidupannya sangat tersasar dari kebanyakan tuntutannya? Faktor utamanya adalah kerana mereka menerima Islam hanyalah sebagai warisan . Islam baka . Bukan Islam yang lahir daripada kefahaman . Justeru , menjadi kewajipan setiap muslim untuk mendalami pengertian sebenar syahadah ini , dan segala tuntutan yang berkait dengannya , kemudian menterjemahkan ke dalam kehidupan. Setiap muslim bukan sekadar wajib beriktikad bahawa baginda diutus oleh Allah , tetapi ada tuntutan daripada iktikad tersebut.

Tuntutan utama syahadah kedua ini , terkandung di dalam firman allah ;

{لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً }الأحزاب21

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

Menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh di dalam kehidupan . Baginda menjadi ayah , para ayah mesti mencontohinya. Baginda juga seorang suami , para suami mesti mencontohinya. Baginda mestilah dijadikan contoh dalam ibadatnya , mu’amalatnya , akhlaknya , berurusan dengan bukan islam , contoh ketika damai dan ketika perang . Baginda adalah contoh dalam komunikasinya , kepimpinannya , kesabaranya dan pelbagai aspek kehidupan yang luas ini , ada contoh daripada baginda s.a.w.Persoalannya , bagaimana hendak mencontohinya sekiranya kita sendiri tidak mengetahui keadaan dan tindakan-tindakan baginda dalam situasi tersebut ? Maka jawapanya , wajib mempelajari ajaran yang ditinggalkan oleh baginda, kemudian mengamalkannya.

Seorang pengarang barat , Michael H.Hart , di dalam buku beliau yang terkenal ; The 100 : A Ranking of the Most Influential Persons in History , telah mengakui bahawa Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling berpengaruh di atas muka bumi ini . Beliau mengakui kejayaan rasulullah , bukan sahaja dalam aspek keagamaan tetapi juga perkara keduniaan . Beliau menyebut ‘” My Choice of Muhammad to lead the list of the world’s most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others , but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels”

Ini pengakuan pengkaji barat , alangkah ruginya umat muslim sekiranya tidak menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai contoh untuk diteladani di dalam kehidupannya.

SOALAN 3 ; Boleh ustaz jelaskan pula , apa ganjaran bagi mereka yang benar-benar mengamalkan ajaran baginda , terutamanya pada zaman yang sangat mencabar ini .

JAWAPAN 3 ; Pepatah Inggeris menyebut , No Pain No Gain . Memang tidak dinafikan , zaman sekarang sangat mencabar bagi sesiapa yang ingin mengamalkan ajaran baginda . Tetapi segala kepayahan yang seketika ini , menjanjikan nikmat yang kekal selamanya . Rasulullah pernah menggambarkan bahawa berpegang dengan ajaran baginda di akhir zaman ini seumpama menggenggam bara api . Dalam hadis yang lain , riwayat Imam Muslim baginda menyatakan ;

بدأ الاسلام غريبا وسيعود غريبا كما بدأ فطوبى للغرباء.

Islam bermula dalam keadaan dagang dan ia akan kembali sebagaimana ia bermula , dagang . Beruntunglah kepada orang-orang yang dagang.

Syurga yang kekal abadi menanti mereka. Semua pasti mati . Kaya mati , miskin mati. Berpangkat mati , tidak berpangkat mati . Orang sakit mati , doctor pun mati . Hanya yang berpegang dengan ajaran Rasulullah sahaja yang akan selamat selepas kematiannya.

Sekian , wassalam.

.

Jumaat, 23 Januari 2009

INVESTMENT...Profit selepas mati

Apabila seorang jemaah haji bersiap untuk ke Mekah , bekalan paling penting bagi setiap mereka adalah memastikan Rial Saudi mencukupi bagi tempoh mereka berada di sana. Kepada yang melancong ke Amerika, pastikan bekalan US dollar sesuai dengan masa dan urusan di sana. Begitu juga yang ke Jepun, Yen di dalam poket mestilah cukup.

Bila berada di Jepun, Ringgit Malaysia tidak laku . Dengan Rial Saudi pula, tidak mampu membeli apa-apa ketika berada di Amerika. Demikianlah currency di dunia ini.

Satu persoalan, apakah bekal yang perlu kita bawa untuk selepas mati? Semua manusia pasti mati. Yang kaya mati, yang miskin mati. Orang sakit mati, doktor pun mati. Apakah matawang yang laku urusniaganya di alam selepas mati? Islam mengajar kita, hanya PAHALA yang laku selepas mati nanti.

Dengan PAHALA , seseorang boleh shopping apa sahaja di alam selepas mati. Buah-buahan, makanan yang enak, tempat menginap yang sangat selesa, bidadari-bidadari dan segala nikmat yang sekiranya kita mampu bayangkan, pastinya bukan sehebat yang kita mampu bayangkan. Nabi Muhammad s.a.w menyatakan, selagi manusia boleh bayangkan, maka itu bukanlah nikmat yang dimaksudkan, kerana nikmat di alam selepas mati tidak mampu untuk manusia bayangkan.

Justeru, setiap yang masih hidup, mesti menyediakan bekalan secukupnya, iaitu currency yang laku selepas mati; PAHALA.

Tiga pelaburan, diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya, dibuat ketika masih hidup. Profit PAHALAnya sentiasa masuk ke akaun pelaburan, walaupun selepas mati. Dengan profit ini, pelabur boleh menggunakannya di alam selepas mati.

Pertama, sedekah jariah.
Jariah dalam bahasa Arab bermakna berlari (manusia/haiwan) atau mengalir (air). Sedekah jariah yang dimaksudkan adalah sedekah yang dilakukan ketika masih hidup, tetapi ia masih dimanfaatkan selepas kematian pelabur.

Contohnya sedekah al-Quran, membina sekolah agama, masjid atau sedekah simen untuk tandas surau. Selagi ia dimanfaatkan, pahala tetap masuk ke akaun yang melabur.

Pelaburan kedua adalah ilmu yang dimanfaatkan.
Ilmu yang diajar, walaupun satu surah al-Fatihah kepada anak sendiri, PAHALAnya sampai kepada yang mengajar walaupun telah mati. Nabi berpesan agar kita menyampaikan ilmu yang diperolehi dari baginda, walaupun satu ayat. Apatah lagi kalau ilmu itu disebarkan pula oleh orang yang diajar itu kepada orang lain, PAHALAnya berganda ...PAHALA multilavel!! Belajar dan tambahkanlah ilmu, agar kita mampu melabur untuk dapat profitnya selepas mati.

Ketiga, anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.
Anak yang tidak soleh tidak akan doa untuk ibubapanya. Ibubapa yang bersusah payah memberi didikan agar anak menjadi soleh, sebenarnya sedang membuat pelaburan. Bagaimana nak jadikan anak itu soleh? HANYA dengan agama, seseorang anak akan menjadi soleh.

MEMAHAMI dan MENGAMALKAN agama, anak jadi soleh. Saya tidak bermaksud semua anak mesti jadi ustaz atau hafiz quran. Anak-anak boleh membesar sebagai engineer, pilot atau bussinessman, tapi yang penting mereka beragama. Menjaga pantang larang agama.

Currency dosa pahala sentiasa menjadi pertimbangan mereka. Hanya anak begini yang akan berdoa untuk ibubapanya. Ketika itu, ibubapa di dalam kubur menikmati profit pelaburan mereka di dunia dulu.

Atas asas inilah saya cuba membangunkan blog ini. Agar saya dan semua yang melayarinya dapat sama-sama MENJANA DI SINI....untuk bekalan DI SANA.